|ARCHIVE |ENQUIRY



Pemimpin Dan Pengurus Harus Teliti Tindakan Mereka - Dr Mahathir

Released by : BERNAMA
Date : 3 October 2005

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Abad ke-21 telah membawa perubahan yang memerlukan satu pemikiran baru dan perlunya para pemimpin dan pengurus meneliti setiap apa yang mereka lakukan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata mungkin mereka melakukan perkara yang betul dan mungkin juga tidak.

Keputusan mereka untuk berubah atau tidak, akan bergantung kepada analisis mereka mengenai sesuatu itu. Itu sebenarnya cabaran yang dihadapi para pemimpin dan pengurus, katanya semasa menyampaikan ucapan bertajuk "Persyarikatan Malaysia: Tuntutan Kepimpinan dan Pengurusan dalam Abad ke-21," pada siri syarahan Tunku Abdul Rahman di sini Isnin malam.

Dr Mahathir berkata para pemimpin dan pengurus dalam abad ke-21 tidak semestinya harus memilih jalan biasa jika mereka mahu berjaya.

Jika para pemimpin terus berpegang kepada jalan biasa mereka lakukan sesuatu, maka mudah bagi mereka untuk diserang hendap, katanya.

"Jika anda berhenti tiba-tiba dan meredah laluan baru dalam belukar, sukar bagi anda untuk diserang hendap. Dan kemungkinan anda akan sampai ke destinasi yang dituju agak lambat sedikit, tetapi anda tetap akan sampai ke destinasi anda. Jika anda diserang hendap, anda mungkin tidak akan sampai langsung," katanya.

Dr Mahathir berkata kebijaksanaan konvensional adalah baik bagaimanapun para pemimpin dan pengurus patut juga menimbangkan cara yang tidak konvensional.

Beliau berkata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang mengambil alih sesebuah syarikat harus memikirkan sesuatu yang mereka akan lakukan dan yang tidak harus lakukan terhadap syarikat yang mereka ambil alih.

"Jika anda lakukan ini, saya yakin anda akan temui banyak perkara yang anda lakukan sekarang yang perlu diteliti semula, perlu diubah dan perlu diperbaiki.

"Jika anda melihat ke dalam syarikat anda sendiri seolah seperti anda baru mengambil alihnya, anda akan melihatnya dari sudut yang berbeza, anda akan lihat keperluan untuk membuat perubahan," katanya.

Dr Mahathir berkata perkara serupa juga boleh dilihat terhadap para pemimpin yang memimpin terlalu lama, jika dia melihat dengan teliti, seperti seorang pemimpin baru lakukan, dia akan dapati ada perkara yang perlu dilakukan secara berbeza.

"Dari segi lain, dia mungkin mendapati apa yang dia lakukan merupakan perkara yang patut dilakukan, Tiada yang lebih teruk daripada membuat perubahan hanya semata-mata untuk berubah," katanya.

Beliau berkata abad ke-21 akan penuh dengan cabaran di mana negara yang kaya dan berkuasa akan mencetuskan pelbagai idea dan cadangan baru.

"Jika anda sedia meneliti secara halus, anda akan dapati mereka inilah yang akan mendapat manfaatnya, yang akan beruntung. Anda mungkin juga mendapat keuntungan, tetapi tidak sebanyak yang mereka perolehi. Selalunya dan dalam jangka masa panjang, anda yang mungkin rugi," katanya.

Dr Mahathir menggesa para pemimpin dan pengurus di Malaysia dan negara lain supaya mengkaji bagaimana orang Jepun boleh kekal dalam pasaran dan telah menewaskan orang Eropah dan Amerika.

Katanya Malaysia perlu bersaing dengan China.

"Kita tahu kos rendah China. Jika kita tahu bagaimana orang Jepun berjaya kekal dalam pasaran, mungkin kita boleh bersaing dengan China," katanya.

[RETURN]

[RETURN]

Contact Us
Malaysian Institute of Management
Management House, 227 Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 603-2164 5255 Fax: 603-2164 3171 email: enquiries@mim.org.my

(c)2003
-2006 MIM, MESB, MTT and IPM. All rights reserved.